Sahabat Buaya

image001
NAMANYA Gilberto Shedden, tetapi lebih dikenali sebagai Chito. Dia hanya seorang nelayan sehinggalah mencipta nama sebagai lelaki luar biasa apabila menjalin persahabatan dengan satu daripada reptilia paling berbahaya di dunia — buaya.
Di kawasan kolam di bandar Sarapiqui, Costa Rica, Chito sering menghabiskan masa bermesra dan mendakap Pocho.
Katanya, Pocho sahabat terbaik pernah ada dalam hidupnya. “Memanglah ia berbahaya, tetapi kami menjalin hubungan akrab dan dia tidak pernah menyerang saya,” katanya.
Justeru, Chito tidak pernah membenarkan sesiapa mendekati Pocho seperti dilakukannya. “Aksi ini hanya untuk saya dan dia,” katanya.
Jalinan persahabatan Chito — Pocho bermula kira-kira 20 tahun lalu di sebatang sungai di daerah Parismina. Chito menemui buaya itu dalam keadaan nazak kerana kecederaan parah akibat ditembak penternak lembu di mata kirinya.
Dengan bantuan beberapa rakan, Chito membawa buaya itu menaiki botnya untuk dibawa pulang ke rumahnya.
“Ketika itu dia sangat kurus dan beratnya cuma 68 kilogram. Saya memberinya makan ayam dan ikan, selain ubat-ubatan selama enam bulan sehingga dia benar-benar pulih,” katanya.
Sepanjang tempoh pemulihan itu, kata Chito, dia menghabiskan banyak masa dengan buaya berkenaan. Ketika malam, misalnya, dia menemani Pocho tidur supaya reptilia itu tahu ada seseorang menyayanginya.
Lebih penting, kata Chito, dia mahu Pocho tahu bahawa bukan semua manusia mahu membunuh buaya. “Ia pengorbanan besar,” katanya.
Mengakui menyayangi semua haiwan, Chito berkata, dia lebih simpati jika ada haiwan yang menderita akibat kecederaan.
Pada satu ketika, Chito membiarkan Pocho dalam sebuah tasik berhampiran rumahnya supaya haiwan itu boleh bebas ke mana saja.
Bagaimanapun, katanya, ketika dia berjalan pulang, Pocho merangkak keluar dari air dan mengekorinya ke rumah.
Selepas beberapa tahun, persefahaman dan persahabatan Chito — Pocho semakin utuh hinggakan kedua-dua mereka mampu bermesra tanpa sebarang rasa curiga. Kata Chito, selepas sedekad, dia mula akrab dengan Pocho.
“Mula-mula proses itu agak perlahan, tetapi lama-kelamaan kami saling memahami. Jika saya memanggil namanya, dia akan datang,” katanya.
Mengenai ahli keluarganya, Chito mengaku pada peringkat awal mereka gerun melihat dia bermesra dengan Pocho. Untuk mengatasi masalah itu, Chito hanya bermain-main dengan Pocho ketika semua ahli keluarganya tidur.
Empat tahun lalu, Chito menunjukkan kemesraannya dengan Pocho kepada beberapa rakan, termasuk ketaatan reptilia itu mengikut arahan.
Ia memberi idea kepada mereka supaya kelebihan itu dipamerkan kepada umum. Kini, pasangan istimewa itu menjadi tarikan utama pelancong di Costa Rica.
Buaya Amerika yang hidup di utara, tengah dan selatan benua itu boleh hidup sehingga 70 tahun. Dianggarkan, usia Pocho baru 50 tahun — lebih kurang usia Chito.
Haiwan jenis itu juga kurang agresif berbanding reptilia di Nil atau Australia. Chito mengaku dia tidak pernah berniat melayan Pocho sebagai hamba atau mengeksploitasinya. “Saya gembira kerana menyelamatkan Pocho dan memenuhi keperluannya,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s