SPRM perlu sokongan moral

KETUA PESURUHJAYA SPRM, DATUK ABU KASSIM MOHAMEDOleh: TAN MELAKA
KEADAAN yang di luar jangkaan yang dihadapi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang menampakkan betapa sekalipun matlamatnya adalah suci untuk membanteras jenayah rasuah, tetapi tidaklah semudah yang difikirkan oleh orang ramai malah mereka sendiri mungkin menjadi di antara penghalang.
Kepentingan politik, sentimen perkauman, simpati kepada kawan sekerja, maruah jabatan dan bantahan dari golongan yang biasa mendapat kemudahan menerusi rasuah boleh mengelirukan orang ramai terhadap kejujuran dan kesungguhan pegawai pegawai SPRM.
Bermula dengan kes kematian Teoh Beng Hock yang menjadi isu panas perkauman, terkini kematian pegawai kastam Ahmad Sabrani yang mati dengan cara yang hampir sama dengan cara kematian Beng Hock menambahkan tekanan terhadap SPRM.
Ada pihak yang berkepentingan dengan serta-merta mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed (gambar) dan pegawai pegawai kanannya meletakan jawatan. Jika ini berlaku tidakkah ia menunjukkan kerajaan telah memenuhi apa yang dihasratkan oleh mereka yang terbabit dalam siasatan dan akan melewatkan hukuman dan keadilan berlaku.
Kenapa kerajaan dengan begitu mudah dituduh melindungi rasuah tetapi reaksi daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti parti pembangkang yang hendak menangguk di air keroh tidak memudahkan kerajaan didalam usaha untuk memerangi rasuah.
Mereka yang berfikiran waras tidak akan mengaitkannya dengan peristiwa Beng Hock kerana mustahil untuk SPRM mahu didakwa melakukan perkara yang sama ke atas Ahmad Sabrani.
Ini samalah dengan memikirkan bahawa kerajaan merancang menangkap dan menuduh Anwar Ibrahim bagi kali kedua dalam tuduhan yang sama: Liwat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menambahkan buruk sangka ke atas SPRM dengan mendesak Abu Kassim supaya meletakan jawatan dan SPRM disusun semula dengan penyeliaan Transparency International (TI).
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membela ramai ‘fowarding agent’ yang mengadakan demonstrasi di Pelabuhan Klang berikutan dengan kematian Ahmad Sarbani yang disenangi oleh mereka kerana banyak membantu mereka dan tidak menyebabkan berlaku kelewatan seperti yang berlaku setelah kematiannya.
Bahawa pihak kastam gagal untuk menjangka perkara ini dan tidak bersiap sedia untuk mengatasinya jelas menunjukkan kelemahan Ketua Pengarah Kastam.
Kesatuan Pegawai Pegawai Kastam pula telah mempertahankan Ahmad Sarbani dengan mempertikaikan dakwaan SPRM bahawa Penolong Pengarah Kastam Selangor itu telah pergi ke pejabat SPRM dengan kerelaannya sendiri setelah dibebaskan .
Ada pula pegawai kastam yang mendakwa bahawa Ahmad Sabrani adalah seorang yang taat agama dan selalu yang pertama tiba di masjid untuk menunaikan sembahyang di samping kesukaannya bermain golf dan tenis dan tidak mungkin orang sepertinya akan melakukan rasuah.
Sekalipun Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi tetapi orang yang bersimpati dengannya telah mengemukakan berbagai pandangan yang pada keseluruhannya menampakkan seolah-olah seperti SPRM berada dipihak yang salah.
Kenyataan yang positif hanya datang dari Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah yang meminta SPRM mencari jalan bagi menutup peluang suspek dan penjenayah rasuah untuk membunuh diri atau lari dari mahkamah.
Katanya, sikap tidak bertolak ansur SPRM dalam memerangi rasuah menyebabkan penjenayah dan suspek rasuah berada dalam keadaan tertekan sehingga sanggup mengambil jalan singkat.
Sebenarnya hal seumpama ini pernah berlaku di Singapura apabila seorang menteri yang disyaki rasuah membunuh diri di bawah pemerintahan Perdana Menteri Lee Kuan Yew.
Bahawa Jabatan Kastam, Polis dan Imigresen menjadi sarang rasuah amat sukar untuk dicegah oleh kerana mereka memegang kuasa boleh melepas atau menghukum dalam berurusan dengan orang ramai terutama anggota polis trafik yang telah menjadi cerita lucu di mana mana.
Seperti dalam polis, orang ramai juga telah lama mengetahui tentang rasuah dalam Jabatan Kastam Diraja sehingga dianggap sebagai suatu ’wabak tradisi.’
Suatu masa dahulu ayat Quran di pasang dan digantung di pintu masuk negara untuk mengingatkan pegawai pegawai kastam terhadap dosa mengambil rasuah tetapi kemudiannya telah dibuang kerana bantahan dari dalam atau mungkin kerana mereka berada dalam keadaan merasa bersalah dan malu menghadapi ayat ayat Quran itu.
Keadaan rasuah tidak berkurangan tetapi sebaliknya telah diterima oleh orang ramai sebagai suatu keharusan oleh pihak yang terpaksa berurusan dengan Kastam setiap hari.
Maka itu apabila tidak ada pegawai yang dapat memudahkan kerja mereka dengan wang pelicin maka mereka mengadakan demonstrasi.
Maka itu apabila kerajaan atau SPRM mengambil tindakan menangkap sekumpulan pegawai pegawai yang merugikan negara berbilion ringgit di bawah operasi 3B, orang ramai adalah menyambut baik dan yakin kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib benar benar mahu menegakkan kerajaan yang cekap, bersih dan amanah.
Tindakan ini yang diikuti dengan lapan pegawai imigresen dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah menambahkan keyakinan ramai kerajaan tidak lagi akan bertolak ansur dengan pihak mana pun terhadap jenayah rasuah.
Rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang cekap dan bersih dan dapat menjamin masa depan mereka tidak seharusnya membiarkan diri mereka menjadi tekanan politik dan pihak pihak yang hendak mencari populariti di atas kejadian kematian Beng Hock dan Ahmad Sarbani.
Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pegawai pegawai kanannya yang telah membuktikan tindakan berkesan dalam masa yang singkat mestilah dihargai dan diberikan sokongan moral kerana telah menunjukkan keupayaan, kecekapan dan kesungguhan mereka dalam masa yang singkat.
Mereka yang benar benar mahu menghapuskan rasuah tidak akan menjadikan tindakan membasmi rasuah sebagai isu bagi kepentingan politik, perkauman, keluarga, jabatan atau rakan.
Seseorang juga boleh membunuh diri kerana selama ini dia disangka sebagai seorang yang rajin sembahyang, warak, baik dan dermawan tiba tiba terdedah sebagai penjenayah dan sebagainya.
Perdana Menteri juga bimbang dua peristiwa buruk itu mungkin akan menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada SPRM namun beliau mengingatkan bahawa tindakan SPRM itu adalah untuk menyelamatkan wang negara.
Tentunya rakyat mengalu-alukan jaminan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak perlu meletak jawatan malah operasi 3B yang sedang dijalankan oleh agensi itu akan diteruskan.
Najib telah menyatakan kesedarannya bahawa penye­lewengan yang berlaku dalam Jabatan Kastam adalah serius dan berlarutan bertahun-tahun lamanya. Maka itu kerajaan sendiri mahu membersihkan nama baik Kastam. -SINAR HARIAN

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s