Zohadie Bardaie hero UPM rupanya

Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Zohadie Badaie ketika konvokesyen.

Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Zohadie Badaie ketika konvokesyen.

Tadi dalam kesibukan kerja teringat aku dengan bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Zohadie Badaie. Rupanya beliau dah dapat gelaran Prof Emeritus dari UPM.
Ketika aku mula melanjutkan pelajaran ke UPM namanya cukup megah di dada akhbar yang mana secara berdepan mengkritik Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Shafie Mohd Salleh.
Ada yang mengatakan beliau enggan membenarkan tuntutan menteri yang mahukan universiti meluluskan isterinya Prof Madya, rupanya tidak. Beliau mempertahankan Kejuruteraan Aeroangkasa agar tidak dipindahkan dari UPM ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ketika itu juga popular satu sajak yang dideklamasikan beliau dikatakan semasa satu majlis dengan kehadiran menteri di UPM iaitu,
“Siakap senohong, gelama ikan duri,
Bercakap bohong, bagaimana menjadi menteri.”
Itu sebab utama beliau melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor UPM.
Rupanya beliau adalah wira UPM sebenarnya yang aku sendiri tidak mengetahui.
Kira sempat hampir satu semester aku berada bawah tampuk pimpinannya.
Kisah menarik tentang beliau boleh baca di bawah.

Bekas Naib Canselor teruskan jalinan intelektual dikurnia Profesor Emeritus

BICARANYA tipikal ahli intelek – berterus-terang, jujur dan berani meluahkan kata-kata – menegakkan apa yang dirasakan benar tanpa terselit sebarang cubaan untuk berdolak dalik. Sikap itu jugalah yang pada pendapat ramai, membawa noktah kepada tugasannya bagi jawatan akademik tertinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), antara institusi pengajian tinggi awam tertua dan ternama negara.

Itu kisah empat tahun lalu yang skripnya berakhir dengan penamat cukup mengecewakan sehingga menjadikan nama Prof Ir Dr Muhamad Zohadie Bardaie seakan-akan lenyap terus daripada persada bidang akademik arus perdana. Plot kepada kisah itu bertunjangkan sikapnya yang berani dan berterus-terang sehingga dianggap cuba melawan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, ketika itu Menteri Pengajian Tinggi. Puncanya hanya kerana isu bantahan bekas Naib Canselor UPM itu terhadap pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa dari universiti berkenaan ke sebuah universiti lain.

Ketika itu, lebih tepat lagi sekitar Mei 2005, isu terbabit mendapat tempat di dada media, diwarnai pula dengan pelbagai pendapat daripada beberapa pihak lain, baik di dalam atau luar UPM, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengkritik. Akhirnya, pakar dalam bidang kejuruteraan pertanian itu melepaskan jawatan yang disandangnya selepas kira-kira empat tahun menerajui universiti berkenaan. Menyusul jejak anak tempatan pertama berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Pertanian itu ialah menteri terbabit yang digugurkan daripada senarai Kabinet kerajaan beberapa bulan kemudian. Berjauhan dari Bukit Serdang tidak membataskan Muhamad Zohadie daripada dunia akademik yang amat dicintainya, sebaliknya beliau sanggup berkelana selama tiga bulan ke Jepun, menjadi felo penyelidik di Universiti Tsukuba.

Kalau dah lupa mukannya, ini Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Zohadie Badaie.

Kalau dah lupa mukannya, ini Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Zohadie Badaie.

Tiga bulan meninggalkan anak dan isteri, beliau kembali semula ke tanah air dan mencuba bidang keusahawanan dengan membeli ekuiti dalam sebuah syarikat perunding kejuruteraan dan bersama beberapa rakan membuka sebuah syarikat pembuatan. Kesibukan menguruskan perniagaan tidak langsung menyekat cintanya kepada bidang akademik melalui tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Universiti Selangor (Unisel) dan Ahli Jurnal Kejuruteraan Antarabangsa.

Pada usia 58 tahun dengan semangat pendidik yang masih menebal, beliau dikurniakan pengiktirafan tertinggi akademik apabila dianugerahi Profesor Emeritus daripada UPM. Anugerah itu disampaikan sempena Konvokesyen Ke-33 universiti berkenaan, semalam dan turut diterima oleh bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Muhamad Awang.

“Kejadian (isu perbalahan dengan bekas menteri) tidak menjejaskan niat saya. Bagi saya sebagai Naib Canselor atau dalam bahasa korporatnya, Ketua Pegawai Eksekutif, sudah tentulah saya perlu pertahankan organisasi saya. “Saya ada prinsip… kena pertahankan. Isu yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kerana program aeroangkasa UPM mahu dipindahkan ke universiti lain,” kata Dr Muhamad Zohadie, mengulas kembali apa sebenarnya berlaku pada 2005 itu.

Tidak lama selepas meninggalkan UPM, atas kerelaan sendiri atau pun kerana muak dengan desakan pihak tertentu yang mahukannya meletak jawatan, beliau terus dikunjungi pegawai akademik Jabatan Aeroangkasa UPM.

“Mereka meluahkan penghargaan kerana saya sanggup mempertaruhkan jawatan untuk mempertahankan mereka. Saya beritahu mereka sebagai Naib Canselor, saya kena pertahankan apa juga yang menjadi kepentingan UPM. “Itu penting… kita tak boleh mengharapkan orang lain yang melakukannya untuk kita (mempertahankan kepentingan). Kita kena buat apa yang perlu dibuat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah melupakan peristiwa empat tahun lalu itu, Muhamad Zohadie berterus-terang mengakui masih ada rasa terkilan sehingga kini, tetapi hidup perlu diteruskan.

“Ya… saya teruskan hidup saya, tetapi ada grudges sikit. Perkara seperti itu sepatutnya tak berlaku pun, dunia akademik sepatutnya jadi tempat untuk cari kebenaran… (kejadian itu) amat malang sekali,” katanya.

Selain menggalas tanggungjawab di Unisel dan jurnal kejuruteraan antarabangsa, beliau kekal aktif dalam penulisan akademik dan kadangkala dijemput memberi syarahan, termasuk di luar negara.

“Saya juga cuba bidang keusahawanan… sebabnya ketika di UPM dulu sering saya katakan kepada graduan supaya apabila habis belajar, ceburi bidang keusahawanan. Jadi, nampaklah saya buat apa yang saya cakapkan… walk the talk. “Hubungan saya dengan UPM juga terus berjalan, saya masih berhubung dengan fakulti (kejuruteraan) kerana saya banyak rakan di Jepun. Bila ada apa-apa isu, saya hubungkan mereka yang di Jepun itu dengan fakulti kejuruteraan UPM,” katanya.

Mengenai gelaran Profesor Emeritus dalam Kejuruteraan Biosistem itu, datuk kepada seorang cucu ini mengakui, ketika dimaklumkan mengenai tawaran itu lebih sebulan lalu, beliau menolaknya kerana berasakan tidak perlu dianugerahi apa-apa.

“Saya maklumkan kepada mereka, tak payahlah bagi saya anugerah… tanpa anugerah pun saya sanggup bantu UPM. Saya masih boleh menyumbang kepada UPM dan kejuruteraan… itu memang perkara yang saya sentiasa minat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akhirnya akur dan bersetuju menerima anugerah berkenaan selepas berpendapat ia boleh menyuntik merit kepadanya untuk terus menyumbang dalam bidang akademik, termasuk pada peringkat antarabangsa.

Profil Nama: Profesor Emeritus Ir Dr Muhamad Zohadie Bardaie
Asal: Meru, Klang
Tarikh lahir: 29 Disember 1950
Isteri: Datin Umi Kalsum Hussein
Anak: Zahrina Azian, 33, doktor perubatan; Zaireen Aliza, 26, lulusan Universiti Multimedia; Zaireen Azrin, 21, pelajar kejuruteraan kimia di Universiti Monash
PENGALAMAN AKADEMIK DI UPM

April 2001 – Disember 2005: Naib Canselor
Ogos 1993: Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

Januari 1993: Profesor bidang kejuruteraan
1988: Dekan Fakulti Kejuruteraan
1983: Ketua Jabatan Kejuruteraan Ladang, Kuasa dan Jentera
1979: Ijazah PhD Kejuruteraan Pertanian, Universiti Cornell, Amerika Syarikat
1978: Pensyarah UPM
1975: Sarjana Sains Kejuruteraan Kejenteraan, Universiti California
1974: Sarjana Muda Sains Kejuruteraan dan Sarjana Muda Pengurusan dan Sains Pertanian, Universiti California
1971: Diploma Pertanian Kolej Pertanian Malaya
p/s orang politik datang dan pergi. Tapi seorang akademik, datangnya dirai, perginya diratapi.

Advertisements

Cinta di Putrajaya

With Patron, kuda Tun Dr Mahathir Mohamad

With Patron, kuda Tun Dr Mahathir Mohamad

ALHAMDULLIH, sekali lagi ENGKAU bukakan pintu hari aku Ya ALLAH.
Sekali lagi kau berikan aku cinta.
Entah ke berapa kau berikan aku peluang bercinta, aku sering sia-siakan.
Kali ini Ya ALLAH aku tidak akan sia-siakannya lagi.
Cinta hati aku kini di Persint 5, Putrajaya.
Kau temukan aku dengan hobi baru, ‘berkuda’.
Dengan bantuan best friends aku Mawar, dia kenalkan aku dengan penjaga kuda Tun Dr Mahathir Mohamad, Sarjan Hashim.
Belajar selok belok menunggang minggu lalu amatlah menyeronokkan. Sebelum ini, aku pernah belajar di Perlis, bagaimanapun tak sempat habis belajar.
Peluang kali ini akan aku gunakan sepenuhnya.
Minggu lepas, pertama kali aku menjejakkan kaki Pusat Ekuistrian Putrajaya pada Jumaat, bagaimanapun akibat hujan aku menunggangnya pada keesokkannya, Sabtu.
Sempat juga pusing 3 round padang polo, macam nak putus pinggang dibuatnya.
Oleh kerana aku dah lupa skill-skill lama, aku ambil kelas semula. Senang…
Bagaimanapun menunggang kuda berdepan dengan pelbagai cabaran tidak disangka melainkan kos juga agak tinggi.
Maklumlah, bermain dengan haiwan, kita perlu juga berjaga-jaga.
Stamble atau tersadung adalah perkara biasa bagi kuda.
Tadi aku tersembam ke atas pasir gara-gara kuda yang aku tunggang stumble.
Apa lagi, tersembam aku dari kuda setinggi lebih dua meter itu.
Alhamdulillah, aku tak mengalami apa-apa kecederaan.
Ya ALLAH, peliharalah hamba mu ini daripada sebarang malapetaka.
Hati aku kini jatuh cinta pada Putrajaya.

PM Najib dimalukan, apa sudah jadi?

Kali ini aku malas nak tulis panjang-panjang, tapi bagi menilai adalah lebih baik kita sama-sama melihat video ini.
Apa sebenarnya yang tidak kena, sampai PM Najib seolah-olah termalu?
Tersipu-sipu Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ‘peel’ kononnya bintang Korea yang popular dengan Gangnam Style.
Apabila dijemput dia tidak keluar stage!
Atau dia tidak dimaklumkan penganjur berkenaan RO program.
Sampai ke sudah (habis gaul yee sang) tidak keluar dari backstage, sebagaimana video ini.
Ada logik tak juga ada cubaan sabotaj dan memalukan PM dirancang, juga perlu kita fikirkan?
Bagi aku sebagai rakyat Malaysia, aku malu dengan dengan izin ‘mistake’ sedemikian.
Semua yang terlibat hendaklah diambil tindakan!!!

Credit: Bro Minag Jinggo